Friday, November 8, 2019

Selamat Menyambut Maulidur Rasul S.A.W







Maulidur Rasul

Sesungguhnya kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW adalah merupakan titik tanda
kelahiran agama. Manusia pada saat itu berada dalam kekufuran, kegelapan syirik,
tidak mengenal pencipta mereka. Pada masa tersebut, penyembahan terhadap
berhala-berhala adalah merupakan satu penghormatan, perzinaan adalah suatu
kebanggaan, mabuk dan berjudi berleluasa, merompak serta membunuh adalah suatu
keberanian.

Sehubungan ini Allah mengutus seorang Rasul yang ditunggu oleh umat manusia
untuk menghentikan semua kerosakan ini dan membawanya kepada cahaya
Ilahi. Islam yang kemudiannya telah membawa rahmat kepada sekalian alam. Mesej
kerahmatan untuk sekalian alam menandakan bahawa Islam datang dengan mesej
kesejagatan, iaitu sebagai agama yang tidak semata-mata untuk satu kaum, bangsa atau sesebuah kawasan. Melalui mesej kesejagatan ini sahaja jika diperhalusi sudah
memadai untuk kita meyakini akan kebenaran agama Islam ini.

Nabi Muhammad SAW

Rasulullah SAW sebagai seorang insan kamil yang tinggi keperibadian dan tiada tolok
bandingannya. Maka baginda perlu dijadikan ikon perpaduan ummah sebagaimana
firman Allah SWT yang bermaksud:

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan
yang baik bagimu iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan)
Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah
banyak-banyak (dalam susah dan senang).” (Surah Al-Ahzaab : 21)

Jelaslah, sesiapa sahaja yang menginginkan kehidupan di dunia hingga akhirat
berjalan sempurna sebagaimana yang dikehendaki Allah SWT, maka tiada jalan lain
kecuali kembali mengamalkan ajaran al-Quran dan Hadis dalam kehidupannya kerana
al-Quran diturunkan sebagai petunjuk bagi orang yang bertakwa.

Oleh yang demikian wajarlah kita merenung kembali sirah Rasulullah (S.A.W). Dan
mengkaji sendiri tentang manusia teragung ini dan peranannya dalam pembangunan
manusia sejagat. Maulidur Rasul juga merupakan masanya bagi umat Islam untuk
memperingati semula Rasulullah s.a.w. Dan seterusnya menjadikan contoh sifat dan
kehidupannya kerana baginda adalah teladan terbaik.
Selamat menyambut sambutan Maulidur Rasul 2019 bersamaan dengan tahun 1441
Hijrah.

Sumber : https://www.permohonan.my/tema-maulidur-rasul-dan-tarikh-sambutan/